top of page
muinsapidin

30,000 Dapat Manfaat Daripada 12 Projek

BATU GAJAH: Prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, lebih-lebih lagi dalam musim hujan sekarang, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), diminta meluluskan projek menurap semula beberapa jalan yang rosak.

Ketua Whip Majlis Daerah Batu Gajah, Datuk Wira Mohd. Yusof Kassim berkata, pihaknya mengenal pasti 12 jalan yang perlu diturap semula kerana keadaannya agak teruk, yang melibatkan kira-kira 30,000 pengguna.

Beliau memberitahu, antara jalan tersebut ialah di Taman Sri Raia; Halaman Sri Rahmat; Taman Kinta Perdana; Bandar Pulai Jaya; Taman Timah Jaya; Taman Lembah Permai; RPT Sentang; Taman Batu Gajah Perdana; Jalan Setia Jaya dan Taman Setia Baru.

Menurut beliau, berdasarkan anggaran yang dibuat, semua projek itu dijangka melibatkan kos kira-kira RM3 juta sahaja.

“Kerosakkan yang banyak, berlopak-lopak dan berlubang-lubang, kalau kita turapkan bahagian yang rosak sahaja, tidak memadai. Apa salahnya kalau kita ada kewangan, kerajaan ada kewangan, kita turapkan semua sekali,” katanya kepada pemberita selepas bersama-sama beberapa Ahli Majlis MDBG melawat beberapa jalan yang rosak di sini pada Rabu.

Mohd Yusof yakin projek tersebut akan diluluskan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Kami mohon sebelum bulan lapan ni dapat segerakan untuk projek-projek yang kita cadangkan kerana ia dapat memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk-penduduk di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Mohd Yusof berkata, projek tersebut perlu disegerakan bagi mengelakkan berlaku kemalangan di kalangan pengguna kerana mereka mungkin tidak menyedari kewujudan jalan yang rosak, lebih-lebih lagi selepas hujan.


27 views0 comments
bottom of page