top of page
muinsapidin

USAS Mampu Jadi Universiti Berkualiti Peringkat Antarabangsa

KUALA KANGSAR: Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Nordin Kardi penuh yakin USAS akan menjadi sebuah universiti yang berkualiti dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, USAS kini sedang memperhalusi dan memperincikan lagi perlembagaannya dengan membuat beberapa perubahan.

“Kita sedang memperhalusinya berdasarkan kepada perlembagaan yang lama tetapi dengan beberapa perubahan nanti yang akan dicadangkan oleh satu jawatankuasa yang telah ditubuhkan sekarang di mana saya telah dilantik sebagai pengurusinya,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran USAS di sini pada Selasa.

Nordin berkata, jawatankuasa itu yang melibatkan dasar perundangan negeri Perak akan menjemput pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadi anggota dalam pengubalan perlembagaan.

Sementara itu ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman berharap dengan kenaikan status USAS itu, akan meningkatkan tarafnya ke aras yang lebih tinggi.

“Ini kerana kita mengharapkan lepasan-lepasan daripada USAS ini akan mendapat status sebagaimana yang dirasai oleh UIAM dan dipandang tinggi di persada dunia.

“Pelajar-pelajar USAS adalah cukup berilmu dan berkualiti untuk berbakti kepada negara, jadi saya amat mengalu-alukan perubahan dan perancangan yang dilakukan, sebagai anak jati Perak saya cukup berbangga,” ujarnya.


26 views0 comments
bottom of page