MELAKA TENGAH - Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Masjid, Kampung Padang Temu, di sini, kelmarin. Menurut mangsa, Zohrah Sidek, 43, kesemua lima anak yang berada di dalam rumah bersamanya menyedari kejadian bermula di sebuah stor belakang, kira-kira jam 6.45 petang.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran berkenaan.
Dia berkata, abang ipar yang turut berada di rumah ketika itu cuba memadamkan api dengan menyimbah air, bagaimanapun gagal malah terus merebak menyambar kotak fius elektrik sebelum meletup. “Anak beritahu ada api di bilik simpang barang-barang. Saya dan abang ipar pergi ke belakang dan tengok api mula terbakar pada tilam sebelum abang ipar cuba padam dengan simbah air. “Tapi, api terus marak dan merebak ke kotak elektrik sebelum meletup sebelum berlari keluar selamatkan diri tanpa sempat menyelamatkan barangan lain,” katanya. Menurutnya, selain abang ipar serta isteri, hanya dia serta lima anak berusia 5 hingga 18 tahun berada di rumah ketika kejadian sementara suaminya sudah keluar. “Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami semua terselamat dan tiada sebarang kecederaan dialami. Cuma mungkin alami kerugian lebih kurang RM100,000,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II Razid Abd Karim berkata, tiga jentera bomba termasuk dari BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil bergegas ke lokasi bersama 16 anggota selepas terima panggilan kecemasan. “Sebaik tiba, api sudah marak lebih 70 peratus dan bomba terpaksa mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan kerana kedudukannya berdekatan. Api dapat dikawal pada jam 7.37 sebelum berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh 15 minit," katanya.