BOTA - Hasrat seorang warga emas untuk menikmati ikan tilapia bakar tidak kesampaian apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Pekan Bota Kanan di sini, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Masitah Ahmad Arshad, 73, sedang berbual dengan saudaranya, Salmah Jaafar, 57, di bahagian hadapan rumah.
Salmah berkata, dia datang ke rumah Masitah untuk menghantar ikan tilapia bakar atas permintaan saudaranya itu kerana teringin untuk menikmatinya. “Yong (Masitah), mahu makan ikan tilapia bakar dan saya bersama anak berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) pergi ke rumahnya untuk menghantar ikan berkenaan yang siap dimasak. “Saya juga bercadang mahu masak nasi untuk Yong, tapi pada waktu itu tidak tergerak hati lagi mahu ke dapur dan kami hanya bersembang di depan iaitu di luar rumah sambil makan rambutan. Anak saya pula masuk ke dalam rumah dan berbaring di bilik bahagian bawah,” katanya. Kata Salmah, apabila dia berpaling ke dalam rumah, dia mendengar seperti ada bunyi seperti kaca pecah dan ketika itulah api mula marak. “Saya terus menjerit memberitahu Yong rumahnya terbakar dan menjerit memanggil anak saya supaya keluar. “Ketika itu juga saya memimpin Yong keluar dari pekarangan rumah kerana api terlalu cepat merebak dan kami tak sempat selamatkan apa-apa barang,” katanya. Sementara itu, jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.11 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian. “Apabila tiba di sana kami dapati sebuah rumah jenis kelas B sedang terbakar 80 peratus dan kerja-kerja pemadaman api segera dilakukan. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.