top of page
muinsapidin

Perak Bakal Dapat 2,000 Rumah PPR

IPOH: Kerajaan akan membina 2,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Perak sebagai usaha membantu rakyat golongan miskin bandar memiliki kediaman sendiri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, rumah yang dibina dengan harga RM160,000 seunit itu akan dijual dengan harga RM35,000 kepada pemohon yang layak di mana selebihnya akan disubsidikan kerajaan.

Gambar Hiasan

“Kerajaan buat lebih kurang RM160,000 tetapi kita jual dengan RM35,000 sahaja, kerajaan subsidi selebihnya, ini sumbangan kerajaan Barisan Nasional dalam membantu menyelesikan masalah bagi golongan kurang mampu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Raya Majlis Bandaraya Ipoh di Stadium Indera Mulia pada Selasa.

Menurut beliau KPKT juga akan mengemukakan kertas cadangan kepada jemaah menteri bagi memperkenalkan Skim Sewa Beli di bawah program tersebut bagi memudahkan golongan berkenaan memiliki rumah itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, penapisan ketat akan dilakukan kepada pemohon-pemohon, bagi memastikan golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah yang betul-betul layak sahaja akan terpilih.

“Dari pengalaman kita, apabila kita tawarkan rumah ini kepada yang berpendapatan rendah mereka hadapi masalah untuk dapat pinjaman bank kerana mereka ini orang susah.

“Insyallah sekiranya skim itu diluluskan, bukan sahaja mereka layak dapat rumah itu tetapi mereka boleh terus duduk di rumah berkenaan.

“Setiap pemilihan nanti kita akan patikan rakyat benar-benar layak dan cukup syarat akan dapat, penapisan ketat melalui kerajaan negeri akan teliti pemohon-pemohan yang dari golongan berpendapatan RM2,500 kebawah,” jelasnya.

Tambah beliau, setakat ini 359 unit rumah PPR telah dibina di dua kawasan iaitu di Kamunting dan Sri Iskandar, manakala selebihnya akan dibina di empat lagi kawasan sekitar Perak dalam masa terdekat.

“Di Seri Iskandar ada 99 unit dan di Kamunting ada 260 unit, semuanya sudah siap dan penuh hanya tunggu dilancarkan manakala empat lagi kawasan itu kita sedang kenal pasti untuk bina baki jumlah tersebut,” ujarnya.


122 views0 comments
bottom of page