IPOH: Kos yang tinggi adalah halangan utama kepada pelaksanaan Sistem Pengurusan Rekod Elektronik Dalam Aplikasi (DDMS) ke seluruh negara.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Faridah Ishak, pengurusan rekod melalui sistem itu penting bagi memelihara rekod rasmi dan menghadapi kebarangkalian berlakunya bencana seperti banjir dan kebakaran.
Menurut beliau Arkib Negara memang sudah menjalankan pendigitilan bahan dan simpan dalam bentuk elektronik dan berharap ia dapat dilaksanakan di semua jabatan, bergantung kepada kemampuan dan bajet.
“Keutamaan sememangnya kepada agensi di barisan hadapan, misalnya pejabat di kawasan yang kerapkali terdedah dengan risiko banjir, Pejabat Tanah, Imigresen dan hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam program Cakna Pelan Tindakan Bencana Rekod “Selamatkan Rekod Untuk Negara” anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Pejabat SUK Perak di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Ujarnya, Perak menjadi negeri keempat dalam pelaksanaan program tersebut selepas Pahang, Terengganu dan Kelantan, ekoran kesedaran bencana banjir yang menimpa negara sebelum ini.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abu Bakar Said dalam ucapannya menjelaskan, cara tersebut dapat membantu masyarakat memelihara maklumat terkini bagi rujukan masa hadapan.
“Beratus ribu fail dan dokumen agensi kerajaan telah rosak dan musnah ketika banjir pada tahun 2014 yang mengandungi banyak maklumat penting pentadbiran kerajaan dan kepentingan kepada jabatan serta orang ramai.
“Justeru, semua agensi kerajaan di negeri ini dinasihatkan supaya merujuk kepada Arkib Negara untuk dapatkan perkhidmatan khidmat nasihat atau kursus dalam bidang penjagaan dan pemeliharaan rekod kerajaan,” ujarnya.