BATU GAJAH: Polis mengesahkan bahawa gambar viral yang menunjukkan bahawa seorang tahanan telah melarikan diri adalah tidak benar seperti yang diuar-uarkan di laman sosial.
Terdahulu, gambar seorang lelaki tahanan yang dikatakan melarikan diri ke arah hutan di Taman Saujana di sini viral di laman sosial dan menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk di sekitar Batu Gajah.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohd Nasri Omar berkata, masyarakat tidak perlu risau kerana tiada mana-mana tahanan yang berada dalam kawalan polis yang melarikan diri seperti yang diviralkan.
"Lelaki yang berada dalam gambar tersebut telah diberi ikat jamin atas perintah mahkamah pada 25 Julai iaitu pada Isnin lepas namun semasa dibebaskan lelaki India itu masih menerima rawatan di hospital berikutan masalah pernafasan kronik.
"Pada hari ini (26 Julai) sekitar jam 05.30 pagi lelaki itu telah meninggalkan hospital tanpa memaklumkan kepada pihak pengawal dan pengurusan hospital," katanya kepada Suara Perak pada petang Selasa.
Menurutnya, keseluruhan gambar viral yang mengatakan lelaki itu melarikan diri adalah disebabkan salah faham sedangkan beliau telah diikat jamin dan bebas sebagai orang awam.
"Saya berharap penjelasan ini dapat membetulkan fakta tidak sahih dan viral yang tidak betul itu dan menghilangkan keresahan di kalangan masyarakat," ujarnya lagi.