top of page
muinsapidin

Tambahbaik Pagar Letrik, Setri Gajah Demi Keselamatan Penduduk

GERIK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed berharap pihak yang berkenaan dapat menambahbaik pagar letrik dan sentri gajah demi untuk keselamatan penduduk.

Menurut beliau, adalah menjadi harapannya agar kerajaan negeri mengambil perhatian mengenai kes gajah liar memasuki perkampungan dan kawasan penempatan penduduk di beberapa kampung di Gerik sepanjang lima tahun lepas.

Pada Isnin, seekor gajah seberat tiga tan dan setinggi 2.5 meter yang berkeliaran sekitar empat kampung di Hulu Perak berjaya ditangkap oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaaan dan dihantar semula ke Hutan Simpan Royal Belum.

Difahamkan, gajah yang berusia sekitar 30 tahun itu datang daripada kawasan hutan berhampiran ke perkampungan untuk mencari makanan.

Salbiah dalam pada itu menekankan bahawa tindakan memasang pagar elektrik bagi menghalang kemasukan gajah liar yang mengancam keselamatan kampung telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.

"Sekiranya ianya telah dilakukan, maka penambahbaikan atau penambahan peruntukan bagi pagar elektrik mungkin boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Ini sebenarnya salah satu kaedah untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung dan perkara ini pernah dibawa ke peringkat negeri untuk dibincangkan," katanya kepada Suara Perak.

Jelasnya, antara langkah lain yang boleh dilaksanakan adalah mewujudkan sebuah pusat sentri gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang sekaligus mengurangkan kebimbangan yang dibangkitkan penduduk di samping mempromosi sektor eko pelancongan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa isu pembalakan haram dan penerokaan hutan bukanlah faktor utama yang menyebabkan gajah-gajah tersebut berkeliaran di kawasan perkampungan Hulu Perak sebelum ini.

"Hulu Perak ini berada di antara kawasan hutan simpan dan tebal seperti Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Temengor, jadi memang terdapat banyak hidupan liar yang berada di sini.

"Memang tidak dinafikan ada di antara mereka yang keluar daripada habitat asal kerana penerokaan dan pembalakan namun ianya tidaklah begitu serius.

"Malah, kerajaan negeri sentiasa memastikan isu pembalak dan peneroka haram ditangani dengan tegas serta mewujudkan Hutan Aman Jaya, penanaman semula pokok serta pengisytiharan hutan simpan dan pewartaan tanah terlindung," katanya lagi.


30 views0 comments
bottom of page