top of page
muinsapidin

Peniaga Pasar Tani Degil Dikesan

KUALA PILAH – Biarpun pelbagai alasan diberikan oleh seorang peniaga haram di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di sini, dia bakal dikenakan tindakan di bawah Akta Fama 141 kerana gagal mematuhi Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL).

Wanita berusia 52 itu antara enam peniaga yang gagal mematuhi peraturan GPL di pasar tani Kuala Pilah setelah 50 gerai diperiksa 23 penguat kuasa Fama bersama dua agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan penguat kuasa Jabatan kesihatan daerah semasa Program Penguatkuasaan GPL di pasar tani di sini semalam.

Ketua Penguat kuasa Operasi Fama, Ahmad Faizan Shahron berkata, dalam pemeriksaan dilakukan, sebanyak 80 peratus peniaga mematuhi peraturan GPL manakala 20 peratus tidak mematuhi termasuk peniaga haram tersebut.

“Seramai tiga peniaga juga dilihat gagal mengemukakan permit perniagaan Fama, dua peniaga gagal mematuhi peraturan pentadbiran seperti tidak memakai penutup kepala dan empat peniaga tidak memakai baju Fama yang telah disediakan oleh Fama daerah.

“Kita melakukan pemeriksaan bagi mengelakkan timbul kekeliruan dalam kalangan pembeli terutama isu tanda harga, gred, saiz dan sebagainya.

“Dalam pemeriksaan ini terdapat peniaga tidak meletakkan tanda harga pada produk dan hanya melabelkan satu nama produk sedangkan produk itu terdapat lebih satu jenis. Contohnya pisang. Peniaga hanya melabelkan pisang tetapi tidak memperincikan jenis pisang yang dijual,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Fama daerah, Rosli Zakaria.

Selain itu, penguatkuasaan KPDNKK, mengeluarkan 11 amaran kepada peniaga setelah melakukan pemeriksaan.

Ketua Cawangan KPDNKK Kuala Pilah dan Jempol, Zulkifli Mat, berkata, antara kesalahan dikenal pasti seperti kegagalan peniaga meletakkan tanda harga dengan tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan pengguna.

“Kita memandang serius perkara ini. Tujuan penguatkuasaan dilakukan bukan untuk menghukum peniaga tetapi memberi kesedaran apa yang dilakukan itu salah.

“Jika pemeriksaan selanjutnya mendapati peniaga masih berdegil, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi pemeriksaan kesihatan, Ketua Penguatkuasaan Kesihatan, Mohd Iskandar Noh menyatakan, terdapat tiga daripada 22 peniaga gagal membuktikan telah menyertai Latihan Pengendalian Makanan.

Dalam pada itu, difahamkan seramai 69 peniaga beroperasi di Fama Pilah jam 8 pagi setiap hari Sabtu.


16 views0 comments
bottom of page