top of page
muinsapidin

Penduduk Lega Gajah Liar Berjaya Ditangkap

GERIK: Penduduk beberapa buah kampung di sini lega apabila seekor gajah liar yang berkeliaran di kampung mereka sejak tiga bulan lalu akhirnya berjaya ditangkap.

"Dah empat bulan kami takut nak keluar rumah, syukur gajah liar itu kini sudah ditangkap," demikian luahan salah seorang penduduk di Kampung Perah, Mohd Azani Ibrahim, 46.

Azani berkata, gajah tersebut dipercayai datang daripada kawasan hutan berhampiran dan mengikut laluan ke perkampungan tersebut untuk mencari makanan, namun kehadirannya menimbulkan keresahan di kalangan penduduk di situ.

Menurutnya, penduduk kampung mula menyedari kehadiran gajah itu sejak empat bulan lalu tetapi hanya berkeliaran di kawasan hutan tebal.

Bagaimanapun, baru-baru ini, gajah tersebut mula menceroboh masuk beberapa kampung di sekitar kawasan berkenaan seperti Kampung Bersia, Kampung Perah, Kampung Rui dan Kampung Kuala Kenerong.

"Khuatir dengan keselamatan penduduk kami telah menghantar laporan ke Jabatan Perhilitan dan mujur mereka telah melakukan operasi pemindahan dengan cekap," katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di sini pada Isnin.

Jelasnya, kehadiran gajah liar itu turut memberi kesan kepada ekonomi penduduk kerana laluannya termasuk kebun getah di samping memakan dan merosakkan pokok-pokok pisang.

"Selepas hari raya, seminggu orang kampung tidak masuk kebun sebab takut dengan gajah liar ini, bayangkan ada hampir 200 orang dalam kampung ini, semuanya takut ke kebun sebab risau dengan keselamatan masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kg perah, Kamaruddin Mat Hashim, 57, berkata, walaupun gajah tersebut tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada penduduk, namun penempatan awal itu dibimbangi memberi risiko.

"Saya merupakan salah seorang daripada askar dari Kompeni B, 303 Rejimen Askar Melayu di Gerik yang berpeluang melihat sendiri kebiasaan gajah seperti lagenda Aduka, gajah yang menjaga kawasan Gerik satu ketika dahulu.

"Gajah liar ini, walaupun mereka sudah biasa berada di sekitar orang ramai, namun gerak-geri mereka ketika panik dan takut tidak boleh dijangka, justeru adalah lebih baik mereka dikembalikan kepada habitat asal.

"Sejak laporan diberikan pada Rabu lepas, 20 Februari, orang kampung nampak gajah ini jinak dan ada di antara mereka memberikan makanan seperti tebu dan pisang tetapi perbuatan itu sebenarnya amat berisiko sebab kita tidak mengenali "lenggok" gajah ini," ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat tiga ekor gajah yang berada di kampung tersebut sejak lima tahun lalu, kerana lokasi Hulu Perak yang berada di antara hutan tebal Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Temengor.

Pada Isnin, gajah liar seberat tiga tan dan setinggi 2.5 meter itu dipindahkan dari kawasan Kampung Perah, oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah ke Hutan Simpan Royal Belum.


53 views0 comments
bottom of page