top of page
muinsapidin

Jangan Pandang Ringan Faktor Keselamatan Negara - PM

BAGAN DATOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyeru rakyat agar tidak alpa dan memandang ringan faktor keselamatan negara, sebaliknya menghargai keamanan, kerhamonian, kestabilan dan kemakmuran (4K) yang dinikmati ketika ini.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya membenarkan angkara yang berlaku di negara lain menjadi sesuatu yang boleh mengugat Malaysia.

“Jangan sekali-kali tuan-tuan, saya merayu kita jangan membenarkan angkara-angkara yang berlaku di negara-negara lain menjadi sesuatu yang boleh menggugat kita sehingga perayaan seperti ini tak mungkin dapat diadakan kalau kita tidak pertahankan nilai keamanan dalam negara kita.

“Kita juga mesti jaga dengan sebaik-baiknya keharmonian antara kaum. Di Bagan Datoh umpamanya kita lihat kepelbagaian daripada masyarat India dan Cina, maka sebarang perayaan mendapat sambutan seperti yang dilihat pada malam ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang pada Ahad malam.

Menurut Najib, hasil daripada nilai "4K" yang dinikmati negara, secara tidak langsung telah membolehkan sebarang perayaan disambut dengan aman dan meriah.

Beliau berkata, meskipun Malaysia masih belum bebas daripada ancaman-ancaman keselamatan, namun keselamatan negara masih berjaya dikekalkan sehingga ke hari ini dan itu mesti dipertahankan oleh rakyat.

“Kita mesti menghargai nilai dan hasil daripada keamanan negara, tak boleh kita nafikan di sesetengah negara tak boleh diadakan perayaan seperti ini. Kalau buat, mungkin berlaku sesuatu yang boleh memudaratkan nyawa,” ujarnya.

Najib pada masa yang sama turut merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan rakyat meskipun ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan daerah Bagan Datoh dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh selepas mendapat persetujuan daripada Kabinet dan kerajaan negeri.

“Bagan Datoh ini, lebih-lebih lagi setelah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, banyak rahmat yang orang Bagan Datoh dapat.

“Pertama jambatan Bagan Datoh - Pasir Salak bernilai RM350 juta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) RM150 juta, jalan dua hala Hutan Melintang - Bagan Datoh bernilai RM90 juta dan Politeknik Bagan Datoh bernilai RM220 juta,” katanya.


14 views0 comments
bottom of page