top of page
muinsapidin

BR1M Bukan Untuk Beli Undi - Najib

BAGAN DATOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan bahawa Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan bukan untuk membeli undi seperti yang didakwa.

Sebaliknya, beliau mengatakan, ianya bertujuan untuk merancakkan ekonomi masyarakat setempat di seluruh Malaysia.

Beliau melahirkan rasa kesal penghinaan terhadap pemberian BR1M yang diumpamakan seperti dedak.

"Dedak itu untuk binatang, kita tak boleh samakan rakyat yang menerima bantuan tersebut.

“Apa salahnya sebahagian daripada kekayaan negara digunakan untuk bantu rakyat miskin, negara lain juga buat, hanya bukan dengan nama BR1M,” katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang pada Ahad malam.

Majlis yang berkonsepkan pemimpin bersama rakyat itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Sharipah Zulkifli.

Najib memberitahu kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM5.2 bilion untuk tujuan pemberian BR1M tahun ini.

“Bayangkan jika tiada suntikkan, bagaimana ekonomi tempatan hendak maju atau bergerak?

“Kita bukan membazir, ini bukan soal beli undi, ada orang dapat BR1M tak sokong kita dan ada orang dapat BR1M sokong kita, terpulang kepada dia, ini demokrasi, mereka ada hak, kita bukan beli undi.

“Kita nak pastikan rakyat dapat kita bantu dan ekonomi negara dapat kita rangsangkan,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu sejumlah RM521 juta bantuan BR1M akan disalurkan kepada rakyat di Perak tahun ini.


31 views0 comments
bottom of page