BAGAN DATOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan Bagan Datoh sebagai daerah penuh dan diwartakan sebagai daerah ke-12 di Perak.
Beliau berkata, serentak dengan pengisytiharan itu, kerajaan telah meluluskan peruntukkan sejumlah RM810 juta untuk empat projek besar di daerah baharu itu.
Menurut beliau, kenaikan taraf itu telah dipersetujui oleh kerajaan negeri dan kabinet Malaysia.
“Bagan Datoh ini lebih-lebih lagi setelah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, banyak rahmat yang orang Bagan Datoh dapat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang pada Ahad malam.
Menurut Perdana Menteri, dua projek besar yang diluluskan ialah pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan Pasir Salah dan Bagan Datoh berharga RM350 juta serta laluan dua hala Hutan Melintang ke Bagan Datoh akan dinaik taraf dengan kos RM90 juta.
Manakala dua lagi adalah pembinaan Politeknik Bagan Datoh berharga RM220 juta dan MaktabRendah Sains Mara (MRSM) berharga RM150 juta.
“Inilah projek-projek besar berkenaan dan insya Allah ia akan dilaksanakan selanjutnya,” ujar beliau.
Pengumuman itu telah disambut gembira lebih 50,000 orang yang menghadiri majlis berkenaan.