BAGAN DATOH: Lebih 50,000 orang hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini, pada Ahad.
Ia turut dimeriahkan oleh dua pemimpin tertinggi negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis yang lebih berkonsepkan pemimpin bersama rakyat pada malam Ahad itu juga turut dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menteri-menteri kabinet, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan exco kerajaan negeri.
Majlis anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama kerajaan negeri Perak itu telah dipecahkan kepada tiga segmen bermula pada jam 2.30 petang dengan pelbagai pameran oleh agensi-agensi kerajaan.
Kemeriahan kemudiannya diteruskan dengan aktiviti masyarakat di padang sekolah tersebut serta edaran makanan hari raya kepada pengunjung pada jam 6 petang sebelum acara kemuncak pada jam 9 malam dengan ketibaan Najib.
Sepanjang malam, pengunjung dan tetamu kenamaan telah dihiburkan dengan persembahan khas drama musikal Aidilfitri yang dijayakan oleh gandingan artis-artis lama dan baru selain tembakan bunga api.
Antara artis yang hadir ialah Datuk D.J Dave, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Jamal Abdillah, Hail Amir, Awie, Wan Maimunah, Asmidar Ahmad, Kumpulan Rabbani, Syafinaz Selamat dan ramai lagi.
Orang ramai yang hadir terutama dari luar Perak turut berpeluang merasai makanan dan minum tradisi tempatan yang disediakan di lebih 20 gerai.