IPOH: Pusat Rekreasi dan Kolam Air Panas Lubuk Timah ( PRELUT) sekali lagi menceriakan golongan anak yatim dan pelajar tahfiz sekitar negeri dalam sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Dalam majlis penuh meriah dan sederhana itu, pelbagai lapisan kaum turut memeriahkan majlis begitu juga dengan barisan kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional daripada sekitar daerah Batu Gajah.
Ketua Bahagian myPPP Batu Gajah, Jennifer Leong berkata, pendekatan PRELUT sebagai sebuah badan korporat yang sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat wajar dicontohi oleh agensi dan perusahaan lain di sekitar negeri.
"Tradisi sambutan Syawal di PRELUT saban tahun adalah dengan menjemput mereka yang pernah bekerjasama dengan mereka tidak kira di badan kerajaan, korporat dan swasta dan keriangan Hari Raya itu dapat dirasai segenap lapisan kaum.
"Selain itu, mereka juga tidak pernah mengabaikan golongan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik, justeru pendekatan sebuah badan perniagaan yang tidak mengutamakan keuntungan semata-mata ini haruslah menjadi teras dalam mana-mana syarikat keusahawanan lain di sekitar negeri," katanya kepada Suara Perak ketika ditemui dalam Sambutan Aidilfitri PRELUT di kediaman rasmi pengurusan PRELUT di Klebang pada malam Sabtu.
Jennifer berkata, adalah menjadi satu kewajipan bagi sebuah entiti perniagaan untuk terus memberi dan bersedekah kepada golongan tidak berkemampuan dalam bersama meraikan Syawal selama sebulan ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 51 pelajar Mahaad Tahfiz dari Batu 16, Batu Gajah dan 40 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam, Temoh diraikan lengkap dengan juadah raya serta duit raya daripada pengurusan PRELUT.
Majlis tersebut juga diceriakan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Ronnie Hussain (HyperAct), Fauziah Latiff serta Man Raja Lawak.
Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff ketika ditemui berkata, sambutan raya tersebut merupakan tradisi tahunan yang diadakan khusus bagi menghargai kerjasama semua pihak yang membantu pusat rekreasi kolam air panas di Simpang Pulai.
"Apa salahnya kita sama-sama meraikan segenap kaum dan lapisan masyarakat di sekitar negeri ini, kerana kemeriahan Syawal hanya dapat dirasakan setahun sekali jadi eloklah dirayakan bersama semua.
"Sebagai menyokong gagasan 1 Malaysia, ini juga merupakan salah satu kaedah yang secara tidak langsung merapatkan sillaturahim dan ukhuwah sesama kita di negara majmuk ini," katanya.