KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkongsi lima nasihat untuk para jemaah terpilih yang bakal menunaikan rukun haji tidak lama lagi.
Sultan Nazrin bertitah perkongsian itu berdasarkan pengalaman peribadi baginda sendiri ketika menunaikan fardu haji pada tahun 2013 lalu.
"Pertama, mengamalkan sifat toleransi, sabar dan beralah; tidak bersifat terburu-buru untuk mahu segera menyelesaikan sesuatu rukun sehingga membahayakan diri.
"Keduanya, bersifat pemurah dengan bersedia berkongsi barangan dan kemudahan, tidak terbatas kepada wang ringgit, makanan dan minuman, malah termasuk kesediaan memberi ruang kepada jemaah lain tempat untuk bersolat," titah baginda ketika Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak Musim Haji 1437 Hijrah di Kuala Kangsar pada Sabtu.
Ketiga dan keempat, baginda bertitah jemaah terpilih ke rumah Allah S.W.T itu perlu bersifat redha kepada susah senang yang ditempuhi dan mengamalkan sifat merendah diri dengan melupakan status, pangkat dan jawatan.
"Kelima, jemaah turut harus menginsafi kesesakan dan ujian yang dialami di Padang Arafah adalah satu imbasan kecil daripada suasana sebenar yang bakal ditempuhi oleh setiap umat pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti," titah baginda.
Baginda juga bertitah mengharapkan kesemua jemaah yañg terpilih dapat menjalani rukun haji dengan sempurna.
"Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan para jemaah dengan segala kelapangan dan kemudahan, dianugerahkan kesihatan dan kekuatan, diperkukuhkan iman diperteguhkan pegangan, dapat melakukan ibadah haji sesempurna mungkin," titah baginda.