top of page
muinsapidin

Polis Pergiat Ops Bersepadu Kurangkan Kemalangan

IPOH: Polis Perak akan mempergiatkan Ops Bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi mengurangkan indeks kemalangan, khususnya yang melibatkan kenderaan berat di sekitar negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mengambil langkah berkenaan berikutan peningkatan jumlah kemalangan, terutamanya di musim perayaan baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya akan memberi fokus kepada kenderaan berat yang membawa muatan seperti lori kerana kebanyakan kes adalah disebabkan oleh objek dan muatan yang terjatuh daripada kenderaan berkenaan.

"Objek seperti kayu dan batu terjatuh di jalan raya, menyebabkan kenderaan lain melanggar objek tersebut dan kemalangan berlaku, begitu juga dengan tayar-tayar celup yang jatuh.

"Kita akan melakukan Ops Bersepadu ini setiap hari kerana kita mendapati objek-objek ini amat berbahaya, terutamanya di kawasan cerun bila mereka naik dan menggelongsor turun, juga di selekoh berbahaya sepanjang jalan," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Perak di Mesy Pegawai Kanan di Tiger Lane pada Jumaat malam.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan melibatkan kerjasama daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bahagian narkotik PDRM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK) negeri.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mengambil sampel air kencing dalam ops terbabit di beberapa lokasi bagi mengelakkan penyalahgunaan dadah di kalangan pengguna jalan raya.

Beliau juga mengumumkan bahawa indeks jenayah Perak telah berkurangan sebanyak 1.1 peratus dengan daerah Manjung dan Taiping menyumbang kepada peratusan tertinggi sepanjang tempoh Januari hingga 21 Julai tahun ini.

Dalam pada itu, seramai 3,000 pegawai dan anggota serta keluarga polis Perak dari seluruh negeri hadir memeriahkan majlis Syawal peringkat negeri tersebut.

Abdul Rahim berkata, sambutan kali ini meriah dengan kerjasama erat baik daripada keluarga serta ibu pejabat daerah seluruh negeri dengan aneka juadah Raya daripada 16 gerai.


9 views0 comments
bottom of page