top of page
muinsapidin

Nenek Cedera Kena Belasah

SELAYANG - Seorang warga emas terpaksa menerima 10 jahitan di bahagian kepala selepas dicederakan dalam insiden samun di hadapan rumahnya di Selayang Baru di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Nik Kamariah Nik Mat, 68, ketika itu keluar mengambil barang di dalam keretanya yang diletakkan di luar pagar rumah.

Nur Amalina Izzati Basri,18, menunjukkan luka di kepala neneknya akibat dipukul suspek samun di hadapan rumah mereka, kelmarin.

Menurutnya, tidak sampai lima minit, dia kemudian didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC yang mahu bertanyakan arah jalan. “Ada dua lelaki datang ke arah makcik, lagi seorang hanya tunggu di motor. "Lepas tu mereka tanya makcik Jalan 5, makcik pelik sebab memang tak ada Jalan 5 dekat sini. Makcik dah mula rasa tak sedap hati, terus makcik tutup pintu kereta nak masuk rumah tapi salah seorang daripada mereka tarik dan terus pukul makcik dengan pemotong besi. “Nasib baik ada cucu yang dengar jeritan dan keluar tolong tapi diacu parang pula, tapi alhamdulilah tidak dicederakan selepas seorang lagi cucu di dalam rumah jerit minta tolong,” katanya. Dia berkata, menerusi rakaman CCTV, suspek berkenaan terdahulu pusing beberapa kali di hadapan rumahnya sebelum berhenti bertanyakan arah. “Ini kejadian keempat berlaku di rumah makcik, tiga daripadanya pecah rumah dan salah satunya turut bersenjatakan parang. Rumah makcik dah pasang CCTV dan penggera tapi mereka masih berani buat kerja, siang hari pula. “Mujur cucu-cucu ada di rumah, kalau tak mesti lagi teruk jadinya. Lebih kurang RM10,000 jugalah rugi sebab mereka dapat larikan rantai, gelang dan tiga cincin yang makcik pakai. Hari biasa memang tak pakai barang kemas tapi sebab masih raya, sajalah pakai perhiasan tapi tak sangka jadi macam ni pula,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Selayang. Nik Kamariah berkata, dia berharap supaya polis dapat membuat rondaan lebih kerap di kawasan tersebut memandangkan banyak kes seperti itu berlaku. Dalam pada itu Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang turut melawat mangsa di rumah turut meminta anggota keselamatan lain termasuk polis bantuan, Rela diaktifkan semula bagi membantu pasukan polis. “Sini dah ada rondaan di bawah ketua kampung pada waktu malam tapi dia buat kerja siang pula, harap semua pihak bersama-sama menangani isu keselamatan ini. “Walaupun di sini majoritinya Melayu tak salah jika kaum lain membantu termasuk cadangan rondaan bersama anjing bagi mencegah kegiatan jenayah,” katanya.


6 views0 comments
bottom of page