IPOH: Polis Perak akan mengadakan risikan terperinci dan perbincangan bersama-sama Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) berkenaan isu pemuda yang mengaku sebagai Imam Mahadi dan menubuhkan sebuah kumpulan bersenjata bergelar Tentera Mahadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya kini dalam proses pemantauan dari semua aspek dan sudut yang boleh membantu menyelesaikan kes berkenaan.
"Kita akan mengambil tindakan setelah perbincangan lanjut diadakan bersama JAIPk dan kami akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan mengenai kes ini.
"Buat masa ini, kita masih belum boleh menentukan kesalahan dia tetapi kita akan maklumkan jika sebarang tindakan diambil," katanya kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilifitri Polis Perak di Mess Pegawai Kanan Polis di sini pada Jumaat malam.
Abdul Rahim berkata, beliau tidak boleh memberitahu secara lanjut mengenai tindakan seterusnya, namun langkah-langkah untuk mengesan "Imam Mahadi" itu telah dimulakan dengan kerjasama JAIPk.
Katanya lagi, setakat ini kes tersebut masih belum diklasifikasikan di bawah mana-mana akta yang termaktub.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berhubung sebuah kumpulan ajaran sesat di negeri ini, yang dikatakan sedang mengembangkan pengaruhnya ke seluruh negara.