IPOH: SJK (C) Tsung Hwa menjuarai Pertandingan Pidato Sekolah-sekolah Cina Perak bagi peringkat sekolah rendah manakala SMJK Xin Zhong dari Sungai Siput memenangi peringkat sekolah menengah atas.
Dalam pertandingan yang diadakan di peringkat negeri itu, SMJK Ave Maria Convent pula menjuarai bagi peringkat menengah rendah.
Pertandingan tersebut diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Perak, Jabatan Pelajaran Negeri, Konfederasi Pendidik Sekolah Cina Perak, Persatuan Kebudayaan Cina Perak serta Lembaga Pengarah Persatuan Kebudayaan Cina Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, bakat berpidato di kalangan pelajar Cina baik menengah dan rendah di Perak berpotensi untuk dikembangkan lebih jauh.
"Juri-juri yang mengadili para pelajar juga berpendapat bahawa tahap pidato dan penguasaan berhujah di kalangan pelajar Perak adalah amat professional dan boleh menandingi negeri-negeri lain dengan mudah.
"Justeru, saya berpendapat sekiranya bakat mereka digilap maka mereka akan memberi saingan yang amat sengit kepada pemidato-pemidato di sekolah-sekolah Cina seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato Sekolah Cina di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada petang Sabtu.
Jelasnya, pertandingan tersebut menampilkan dan mendedahkan bakat terpendam anak-anak negeri Perak yang akan membawa balik kemenangan buat negeri di peringkat kebangsaan kelak.
Katanya, persatuan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam serta pihak pendidikan sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti berteraskan kebudayaan dan pendidikan bagi memperkasakan lagi kemahiran holistik di dalam diri setiap murid dan pelajar dari sekolah Cina.
"Antaranya ialah deklamasi sajak Cina, tarian, syair dan syarahan serta pelbagai lagi aktiviti yang menaikkan keyakinan mereka di khalayak ramai.
"Pastinya di masa akan datang kami akan meningkatkan lagi usaha bagi membawa kesemua aktiviti dan pertandingan ini ke peringkat lebih tinggi, selain mengalu-alukan kerjasama agensi swasta untuk menyertai usaha ini," ujarnya.
Dr Mah berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha untuk tujuan tersebut, khususnya dari segi pembiayaan, lokasi dan mana-mana aspek yang diperlukan oleh pihak pengurusan sekolah dan persatuan kebudayaan Cina Perak.