IPOH – Isu membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat yang dicadangkan dibina di tapak baharu dijangka selesai apabila kerja-kerja pembinaan bakal dimulakan tahun ini.
Sebahagian ibu bapa melihat tapak pembinaan SJKT Gunung Rapat yang masih sama, tanpa sebarang pembinaan sejak lima tahun lalu.
Penasihat Menteri Besar, Datuk V Elango berkata, sekolah berkenaan yang dicadangkan sejak 2011 terpaksa melalui beberapa proses terutama kelulusan peruntukan hingga mengakibatkan ia tidak dapat dimulakan.
Menurutnya, berbeza daripada peruntukan awal sebanyak RM2.5 juta yang disediakan, kos bagi pembinaan sekolah di tapak seluas 0.8 hektar di Gunung Rapat kini mencecah hampir RM6 juta.
“Tender pun sudah ditutup, bila-bila masa sahaja projek ini akan dimulakan, kita jangkakan tahun ini juga,” katanya kepada Sinar Harian.
Pembinaan sekolah di tapak baharu itu sebelum ini mendapat pelbagai reaksi apabila ia dikatakan tertangguh hampir lima tahun.
Sekolah asal berusia melebihi 65 tahun dikatakan sempit dan sudah tidak mampu menampung kapasiti pelajar yang semakin meningkat, keadaan itu membawa kepada keputusan mencari tapak baharu di Gunung Rapat.
Elango yang juga Pengerusi MIC Perak berkata, peruntukan sebanyak RM6 juta yang diperlukan itu sudah diluluskan kerajaan.
Katanya, pihaknya juga berharap perkembangan itu akan dapat memberi harapan baharu kepada masyarakat India di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mendesak projek itu disegerakan memandangkan tapak disediakan mula dipenuhi semak samun seolah-olah sebuah kawasan terbiar.
Menurutnya, meskipun papan tanda notis pembinaan bangunan sekolah bertarikh Mei 2013 kelihatan di tapak tersebut, pihak sekolah, murid dan ibu bapa masih tertanya-tanya tentang projek pembinaan sekolah setelah lima tahun berlalu.
“Sebagai wakil rakyat kawasan, saya bersama Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkali-kali membangkitkan isu ini dalam sidang Dun dan Parlimen.
“Kita tegas dengan pendirian bahawa pemerintah harus memastikan hak mendapatkan pendidikan terjamin bagi semua masyarakat. Semua sekolah yang berlainan aliran juga perlu dilayan secara adil,” katanya.
Bekas Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Peru D Nittiyanathar berkata, isu berkenaan antara yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat.
Katanya, kali terakhir mereka dimaklumkan, projek pembinaan akan dimulakan pada Jun lepas, namun keadaan kawasan berkenaan masih sama.
“Kita pun tak tahu bila sebenarnya projek ini akan dimulakan. Sejak lima tahun ini, jawapan sama sahaja yang kita terima menyatakan projek ini akan disegerakan, tetapi sedihnya keadaan tetap sama.
“Dalam hal ini, kita minta semua pihak meletakkan kepentingan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan, bukan mainan politik semata-mata. Tak kan kena tunggu satu lagi pilihan raya baru nak mula,” katanya. - Sinar Harian