NICE - PERANCIS. Lima suspek telah dihadapkan ke mahkamah di Perancis atas dakwaan kesalahan keganasan berhubung dengan serangan di Nice. Empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 dan 40, dituduh membantu pemandu Mohamed Lahouaiej-Bouhlel dalam serangan keganasan tersebut.
Menurut pendakwa Perancis, Francois Molins, salah seorang suspek telah kembali ke tempat kejadian pada hari berikutnya untuk merakamkan kesan serangan. Lahouaiej-Bouhle membunuh 84 orang apabila dia merempuh lori yang dipandunya ke arah orang ramai pada Hari Bastille. Encik Molins berkata, Lahouaiej-Bouhle menerima sokongan logistik bagi melakukan serangan itu dari lima suspek dan telah merancang serangan sejak beberapa bulan. Tiga daripada suspek, dikenali sebagai Ramzi A dan Mohamed Oualid G serta Chokri C, didakwa sebagai rakan jenayah dalam 'pembunuhan dalam kumpulan berkaitan keganasan'. Seorang warga Albania, dikenali sebagai Artan dan seorang wanita bernama Enkeldja, disyaki membekalkan pistol kepada Lahouaiej-Bouhlel dan didakwa 'melanggar undang-undang senjata berhubung dengan kumpulan pengganas'. Kelima-lima suspek akan berada dalam tahanan, kata Encik Molins. Menurut Mollins lagi, seperti Lahouaiej-Bouhlel, tiada seorang pun daripada mereka yang ditahan dikenali oleh perisikan Perancis sebelum serangan itu, namun Ramzi A mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kecil. Beliau berkata, maklumat dari telefon Lahouaiej-Bouhlel menunjukkan carian dan gambar yang menyatakan beliau telah meneliti serangan sejak 2015. Kumpulan pengganas Islamic State (IS) berkata, Lahouaiej-Bouhlel adalah salah seorang 'askar' mereka, namun pemandu lori tersebut tidak pernah di dalam senarai pihak polis Perancis. Ketika orang ramai menyambut Bastille Day di Promenade des Anglais, Lahouaiej-Bouhlel merempuh ke arah orang ramai menggunakan lori putih besar yang dipandunya. Perancis telah melanjutkan tempoh darurat sehingga Januari 2017, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menempatkan orang ramai dalam tahanan rumah. - BBC