BARU-BARU ini media tempatan melaporkan keluhan bapa Khairul Idham Pawi (Keon) berkaitan ketiadaan pihak yang sudi membantu membiayai kos pegawai pengiring anaknya itu di luar negara.
Bagaimanapun, kenyataan itu telah dijawab oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa pihak kementerian di bawah seliaannya telah meluluskan peruntukan permulaan RM100,000 bagi membantu perjalanan karier Keon dalam arena Moto3.
Namun, peruntukan itu bagaimanapun tidak dapat diserahkan kepada Keon selepas pelumba berusia 17 tahun itu gagal memberikan nombor akaun miliknya serta beberapa dokumen yang diperlukan.
Semalam, Boon Siew Honda Sdn Bhd juga tampil menjelaskan kemelut dan kontroversi berkaitan dakwaan Pawi Omar yang mengatakan dia dan keluarga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi melancarkan karier anaknya dan juga membiayai pegawai pengiring.
Menurut pihak Boon Siew dalam satu kenyataan semalam, Keon adalah pelumba kontrak di bawah pengurusan mereka.
Oleh itu, segala perbelanjaan berkaitan karier pelumba muda negara itu sama ada dari segi penginapan, makanan, gaji bulanan serta tiket penerbangan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan, semuanya adalah ditanggung oleh mereka.
Malah, tambah pihak Boon Siew lagi, perancangan jangka masa panjang bagi perjalanan karier Keon untuk ke peringkat lebih tinggi di peringkat antarabangsa juga telah siap tersedia.
Selain itu, mereka juga bertanggung jawab dalam mendapatkan penajaan peribadi untuk juara Moto3 Grand Prix Jerman itu dengan menawarkan penajaan tambahan seperti yang telah dilakukan dengan syarikat RedBull baru-baru ini.
Di samping itu, Honda juga menjelaskan pihaknya tidak terlibat dengan mana-mana kempen dan permohonan kewangan tambahan seperti kos pengiring yang difikirkan perlu oleh keluarga Keon.
“Kami tidak terlibat dan ingin menjelaskan mana-mana kempen ataupun permohonan sokongan kewangan tambahan yang mendapat liputan ketika ini adalah untuk membiayai perbelanjaan yang difikirkan perlu keluarga Khairul seperti kos bagi ‘pengiring’,” jelas pihak Boon Siew Honda.
Sementara itu Keon dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini selepas pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu menaiki podium utama GP Jerman, Ahad lalu biarpun bermula di petak ke-20.
April lalu, Keon mencipta sejarah selaku pelumba Islam pertama memenangi perlumbaan Moto3 di GP Argentina.