top of page
muinsapidin

Sekolah Menengah Berasrama Orang Asli Pertama Beroperasi

SUNGAI SIPUT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di sini yang merupakan sekolah menengah berasrama pertama untuk Orang Asli di Malaysia akan memulakan operasi September ini.

Sebagai permulaan, sekolah yang boleh menambung 600 pelajar itu akan mula mengambil 119 pelajar tingkatan satu dan 110 pelajar tingkatan dua dengan 16 guru.

Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris memberitahu, pelajar berkenaan adalah daripada sekolah menengah sekitar Sungai Siput dan Kuala Kangsar seperti SMK Muhibbah, SMK RLKT Lasah, SMK Simpang Beluru, SMK Toh Muda Abdul Aziz, SMK Clifford dan SMK Raja Perempuan Kelsom.

"Pihak jabatan telah memulakan perancancangan sejak tahun lalu dalam semua aspek, dari segi pentadbiran sekolah, penempatan pelajarnya dan juga dari segi pengurusan asrama,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan projek itu pada Jumaat, yang merupakan fasa kedua projek Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kampung Orang Asli Bawong.

Pada majlis itu, Mat Lazim menerima secara rasmi projek sekolah dan asrama tersebut daripada Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Abu Bakar Mohamed Said.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Kedah / Perak, Hairul Nizam Abd Kadir dan wakil kontraktor Pembinaan Marwan Sdn. Bhd.

Projek tersebut mula dibina pada November 2013 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun lalu dengan kos RM26.2.

Ir Abu Bakar di dalam ucapannya berkata, kompleks sekolah tersebut mengandungi sebuah blok pentadbiran, sebuah blok makmal & bengkel, dua blok akademik, empat blok asrama, sebuah kantin dan dewan makan di samping kemudahan lain seperti padang bola dan gelanggang bola jarring serta sepak takraw.

Sementara itu beberapa ketua masyarakat Orang Asli yang ditemui melahirkan rasa syukur dengan pembinaan sekolah berasrama itu kerana ia dapat membantu mengurangkan kadar keciciran di kalangan anak-anak mereka.

Tok Batin Kampung Bawong Jefri D Abas

Tok Batin Kampung Bawong, Jefri D Abas berterima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang telah berusaha untuk menjayakan pembinaan kompleks sekolah itu.

“Saya sangat berharap kepada masyarakat dan anak-anak buah saya supaya mengambil kesempatan yang disediakan oleh kerajaan dan dengan adanya kemudahan ini, kita harap dapat mengurangkan kadar keciciran pelajar yang tidak ada kesudahannya sebelum ini.

“Mudah-mudahan dengan adanya bangunan yang megah yang berada di hadapan kita ini, maka masyarakat kita dapat bersainglah dari segi pelajaran dengan masyarakat yang terdapat di luar,” ujarnya.

Pengerusi JKKK Kampung Kajang, Roslan Kudin

Pengerusi JKKK Kampung Kajang, Roslan Kudin pula percaya masyarakat Orang Asli boleh pandai dan maju seperti masyarakat lain di negeri ini.

“Saya harap pihak ibu bapa janganlah lagi menimbulkan sebarang masalah, kalau sudah ada sekolah yang macam ini, kita syorkan anak supaya kita belajar, jadi kita tidak lagi ketinggalan,” katanya.


309 views0 comments
bottom of page