top of page
muinsapidin

“Anak Saya Dilayan Seperti Binatang” – Bapa Sanjeevan

PUTRAJAYA: P Ramakrishnan sedih mengenangkan nasib anaknya, Datuk R Sri Sanjeevan yang didakwa didera dalam tahanan polis.

“Anak saya dilayan seperti binatang. Dia berada dalam ‘kandang’ dan kami berada di luar.

Betapa malunya keadaan itu,” katanya sambil menahan air mata dan mendakwa anaknya membuat isyarat tangan menunjukkan dia kelaparan dalam tahanan.

“Anak saya bukanlah binatang. Dia seorang manusia,” jerit Ramakrishnan sambil menitiskan air mata.

Warga emas berusia 65 tahun itu menggambarkan saat-saat beliau dan menantunya, Kastoori Sanjeevan melawat Pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch itu di pusat tahanan reman polis di Kuala Lumpur, semalam.

Bercakap kepada wartawan di luar Kementerian Dalam Negeri hari ini selepas menyerahkan memorandum bersama kumpulan hak asasi manusia Suaram, beliau mengecam tindakan polis menahan anaknya dan menggesa campur tangan kementerian terbabit.

Presiden Suaram, Sevan Doraisamy berkata, Sanjeevan dikatakan didera selepas matanya ditutup dalam pusat tahanan reman polis.

Isteri Sanjeevan, Kastoori pula berkata, beliau nampak kesan lebam di tangan serta kaki suaminya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selama tiga hari akibat pendarahan dalaman.

“Saya ingatkan tahanan 21 hari adalah untuk (bantu) siasatan. Sekarang saya keliru sama ada ia untuk siasatan atau penyeksaan.

“Kenapa mereka menyeksa dia? Dia adalah seorang Datuk dan sangat profesional. Setahu saya, dia amat bekerjasama,” katanya yang bimbang dengan kesejahteraan suaminya.

Menurutnya, Sanjeevan mempunyai masalah jantung dan saraf yang kronik serta mendakwa suaminya tidak diberikan sebarang rawatan atau ubat.

“Saya hanya mahu suami saya berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Suaram turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi campur tangan dalam isu itu dan membebaskan Sanjeevan daripada ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

“Kami juga meminta polis berhenti menyeksa tahanan dan siasat dakwaan dikemukakan Sanjeevan,” kata Sevan.

Sanjeevan direman selama 21 hari di bawah Seksyen 4(1)(a) Poca sehingga hujung bulan ini.

Sebelum ini, Sanjeevan dilaporkan berdepan 14 pertuduhan lain, termasuk memalsukan dokumen, menipu, menghasut dan pengubahan wang haram.

Dia turut disiasat atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.


15 views0 comments
bottom of page