KUALA LIPIS - Cubaan seorang lelaki menyamun sebuah kedai emas buat kali kedua, tidak berjaya apabila dia ditahan polis di bandar lama Lipis kira-kira jam 5 petang, kelmarin.
Suspek yang baru dua bulan bernikah dan akan bersanding dengan pasangannya September ini, dipercayai menyamun sebuah kedai emas di Bandar Baharu Lipis dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira-kira RM50,000, dalam kejadian 18 Jun lalu.
Difahamkan, barang kemas berkenaan dijual kepada pembeli bebas di Gua Musang selain kedai pajak gadai.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, hasil risikan dan maklumat, anggotanya yang berpakaian preman bergegas menunggu suspek di hadapan sebuah kedai emas di bandar lama Lipis.
"Semasa anggota kita sampai, suspek yang bekerja sendiri itu didapati meletakkan kereta di petak parkir dan sedang berjalan menuju ke kedai emas, dipercayai mahu menyamun.
"Anggota kita cuba tahan suspek dan berlaku sedikit pergelutan sebelum dia berjaya ditahan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini, semalam.
Turut sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, SV Chandran.
Ab Rashid berkata, siasatan mendapati, suspek berusia 22 tahun itu menggunakan pistol mainan untuk melakukan samun sebelum ini.
"Susulan penahanan itu, polis berjaya merampas sepucuk pistol mainan warna hitam dalam beg galas dibawa suspek serta rambut palsu dipakainya.
"Pemeriksaan lanjut dalam kereta suspek menemukan tiga helai surat pajak gadai, satu telefon bimbit, seutas rantai leher, dua topeng muka, satu pelekat warna biru gelap, satu penutup hidung dan sepasang sarung tangan getah," katanya.
Suspek ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.