IPOH – Seramai 60 kanak-kanak istimewa dari sekitar Perak diraikan dengan penuh kemeriahan dalam Jamuan Hari Raya Aidilfitri oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ( MAIPk) baru-baru ini.
Dalam jamuan sederhana namun bermakna itu, kesemua anak-anak istimewa yang menghidap penyakit ‘celebral palsy’ disambut dengan penuh keceriaan dalam suasana Syawal.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi mengeratkan ukhuwah antara MAIPk dan masyarakat khususnya kesemua kanak-kanak tersebut.
“Kami merasakan sambutan Syawal ini akan lebih bermakna sekiranya kegembiraan itu dikongsi bersama anak-anak syurga yang begitu dekat di sisi Allah SWT.
“Apa salahnya kita memperuntukkan sedikit masa dan pelaburan kepada mereka yang kurang bernasib baik kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada komuniti dan manusia biasa yang merindui suasana Hari Raya,” katanya kepada Suara Perak.
Turut hadir dalam program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr. Amiruddin Muhamed.
Sementara itu, Dr Wan Mohd Zahid berkata, pihaknya akan sentiasa melaksanakan inisiatif khusus untuk membantu mana-mana golongan yang kurang berkemampuan di sekitar negeri Perak.
Menurut beliau, antara golongan sasar ialah komuniti ibu tunggal, anak-anak yatim serta golongan asnaf fakir miskin yang memerlukan pemerhatian khusus baik dari segi kebajikan dan keperluan khusus.