IPOH: Seramai tujuh saksi akan dipanggil membantu perbicaraan kes seorang siswazah perubatan yang menghadapi dua pertuduhan merosakkan patung di dalam sebuah kuil dan memiliki senjata berbahaya dekat Ipoh pada April lepas.
Dalam prosiding pengurusan kes itu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis, Timbalan Pendakwaraya, Fadhil Ab Wahab berkata, lima daripada tujuh saksi itu telah bersetuju memberi pernyataan bertulis dan dua lagi secara lisan.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin dalam prosiding itu telah menetapkan perbicaraan kes itu akan bermula pada 4, 5 dan 12 Ogos depan.
Fathi Munzir Nadzri, 29, menghadapi dua pertuduhan iaitu merosakkan patung-patung di dalam kuil yang merupakan objek suci bagi penganut Hindu dan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil di Jalan Hospital Ipoh, kira-kira pukul 5 petang pada 24 April lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sebelum ini, Fathi Munzir telah menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan selama sebulan dan laporan psikiatri hospital itu menyatakan tertuduh layak dibicarakan dan boleh membela diri bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Fathi Munzir ketika ini dibawah jaminan mahkamah.