KUALA BERANG - Tahap kesedaran masyarakat di daerah ini berhubung tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU) masih lagi rendah dan kurang memuaskan berikutan masih wujud penyalahgunaan parkir tersebut dilakukan pemandu normal.
Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Ibrahim Mohamad berkata pihaknya berharap komuniti tidak terus bersikap merampas hak OKU kerana kemudahan tersebut disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan golongan berkenaan.
Masih terdapat pemandu normal yang menyalah gunakan parkir OKU tanpa rasa bersalah.
“Sebagai PBT, kita telah pun sediakan kemudahan tersebut (parkir OKU), namun berdasarkan pemerhatian didapati masih ramai dalam kalangan masyarakat yang parkir di petak tersebut tanpa rasa bersalah. Papan tanda parkir OKU bagaikan dipandang sebelah mata sahaja.
“Secara tidak langsung menunjukkan tahap kesedaran masih lagi rendah. Pihak MDHT masih belum keluarkan saman berhubung penyalahgunaan parkir OKU sebaliknya memberi peringatan sebagai pendekatan mendidik bagi tingkatkan kesedaran pemandu.
“Bagaimanapun, sekiranya individu sama didapati mengulangi kesilapan tersebut walaupun setelah diberikan nasihat atau peringatan, pastinya tindakan tegas menanti mereka,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap orang awam bersikap lebih prihatin berhubung ruang parkir kenderaan yang dikhaskan untuk OKU dan bukannya terus bersikap mementingkan diri sendiri sehingga ia menyukarkan golongan berkenaan.
Katanya lagi, dalam usaha meningkatkan kesedaran tersebut kerjasama serta peranan pelbagai pihak lain juga diperlukan termasuklah di peringkat sekolah bagi memberi pendidikan awal kepada para pelajar.
Dalam perkembangan berlainan, Ibrahim berkata berhubung kemudahan tempat letak motosikal berkunci yang turut disediakan MDHT di beberapa lokasi khususnya sekitar Bandar Kuala Berang, kemudahan itu juga belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemilik motosikal.
“Kemudahan ini bagi menjamin keselamatan motosikal sekali gus membanteras kegiatan curi motosikal di kawasan Bandar Kuala Berang ini tetapi masih belum dimanfaatkan,” ujarnya.