IPOH: Perak menampakkan kesungguhan dengan menumpaskan pasukan PKNS 4 -1 pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak pada malam Selasa.
Tiga gol pertama dijaringkan dengan koordinasi pasukan yang begitu mantap dalam masa lima minit sahaja pada separuh masa kedua perlawanan kumpulan C itu.
Pemain import dari Brazil, Ellias Fernandez menunjukkan taring dengan sepakan penalti pada minit ke 48 apabila lawan membuat kesilapan handball pada awal minit masa kedua.
Manakala pemain berjersi 9, Sukaj yang dibawa masuk menggantikan Sokhev padu meledakk gol kedua bagi pasukan Bos Gaurus pada minit ke 50.
Tidak puas dengan dua jaringan itu, anak-anak didik Weigang itu terus mara dan berjaya menjaringkan gol kurang seminit dari gol kedua menerusi sepakan kemas Mohamad Fazrul Hazli pada minit ke 51.
Gol keempat pasukan Perak pula dihadiahkan sekali lagi oleh si cilik Ellias Fernanndez pada minit ke 64 yang mendapat sorakan bergema seluruh stadium Perak.
Cubaan pasukan PKNS FC yang diketuai Shahrul Ture untuk terus mengasak seumpama sia-sia dengan serangan balas daripada pasukan Selasang yang tak henti-henti mencuba nasib mematahkan pertahanan lawan.
Penjaga gawang Bos Gaurus, Hafizul juga mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menangkis beberapa cubaan ke arah pintu golnya dengan begitu tepat dan konsisten.
PKNS juga seperti tidak mempunyai momentum yang selari apabila pergerakan mereka terbantut oleh beberapa 'aksi' pemainnya terjatuh dan pemain no 3, Mohd Farid Ramli yang terkena layangan kad kuning.
Asakan PKNS juga terus hampa apabila gol mereka dikenakan offside oleh pengadil apabila kesemua pemain hadapan berkumpul di dalam kotak penalti pada minit ke 71.
Gol pertama muncul pada saat terakhir oleh pemain import PKNS, Gonzalo Manuel Soto pada minit ke 89 yang cuba memberikan sedikit usaha buat pasukannya.
Tambahan masa tiga minit juga tidak membawa sebarang perubahan buat pasukan bimbingan Elavarasen itu yang kecundang dan sekadar berpuas hati dengan satu gol.