IPOH: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) yang akan diadakan selama empat hari di Pulau Pangkor bermula 1 hingga 4 Disember ini akan memperkenalkan Hadiah Sastera Darul Ridzuan.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ia bukan sahaja melibatkan bidang sastera tetapi juga dalam bidang penulisan dan lain-lain.
Beliau berkata, dalam 14 kategori utama Hadiah Sastera Darul Ridzuan itu, antara hadiah besar yang akan diumumkan nanti ialah Sasterawan Perak Darul Ridzuan dengan menyediakan wang tunai sebanyak RM50,000, piala iringan dan watikah penghormatan daripada kerajaan negeri.
Selain itu, kata beliau, kategori Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan akan dimasukkan di mana pemenang akan menerima RM25,000, watikah penghormatan daripada kerajaan negeri dan yang ketiga kategori Karyawan Sepanjang Hayat yang menawarkan hadiah RM15,000 dan watikah penghormatan daripada kerajaan negeri.
“Kita harap dengan pengisytiharan Hadiah Sastera ini akan memberikan satu lagi input atau suntikan ke arah menjadikan PULARA sebagai satu acara besar peringkat negeri, negara dan juga peringkat antarabangsa.” katanya kepada pemberi selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan,Ipoh pada Rabu.
Menurut Dr Zambry, sempena PULARA kali ini, satu seminar besar selama dua hari bermula 2 Disember, yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca, akan juga diadakan.
“Semua peserta dan juga pembentang dari dalam dan luar negara akan menghadiri seminar dua hari itu nanti yang akan menjadikan negeri Perak sebagai pusat tumpuan bagi golongan karyawan di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.