IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan kegiatan satu kumpulan ajaran sesat di Perak yang diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi sebagai satu penipuan dan pendustaan.
Menurut beliau, sekiranya benar kumpulan itu wujud di Perak, maka umat Islam harus berhati-hati dan menolak ajarannya kerana ia amat jelas merupakan satu penipuan dan pendustaan.
"Sekiranya benar ada kumpulan ini di Perak maka itu adalah merupakan satu ajaran sesat dan satu penipuan kerana Nabi Muhammad telah bersabda dengan jelas dan sahih bahawa Imam Mahadi akan lahir di Madinah dengan nama Muhammad bin Abdullah dari keturunan Nabi sendiri.
"Jadi kalaulah ada orang lain, bangsa lain daripada keturunan lain daripada Nabi Muhammad maka itu merupakan satu pendustaan.
"Memang ada disebut Nabi diakhir zaman akan lahir Imam Mahadi yang akan memimpin umat Islam, jadi kegairahan untuk menjadi penyokong inilah yang menyebabkan orang cukup tertarik apabila ada orang mendakwa sebagai Imam Mahadi apatah lagi dia boleh menunjukkan suatu kelebihan yang istimewa,’’ katanya kepada Suara Perak di pejabatnya di Kompleks Islam Perak di Ipoh pada Rabu.
Sehubungan dengan itu, Harussani minta pihak berkuasa berkenaan termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengambil tindakan segera sekiranya kumpulan ajaran sesat itu benar-benar wujud di negeri ini kerana dibimbangi boleh menyesatkan dan menimbulkan kekacauan dalam negara.
Mufti Perak itu turut menjelaskan bahawa setakat ini beliau masih belum menerima apa-apa laporan rasmi daripada JAIPk berhubung dakwaan wujudnya kumpulkan tersebut.
Harussani seterusnya menjelaskan bahawa isu Imam Mahadi sebenarnya pernah timbul tidak lama dulu di Mekah dan di India di mana ada orang yang mendakwa kononnya sebagai Imam Mahadi.
Semalam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri memandang serius kegiatan sebuah kumpulan ajaran sesat di negeri ini yang dilaporkan diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi baru-baru ini.
Katanya, jika benar kegiatan kumpulan itu dikesan di Perak, maka beliau meminta pihak polis menjalankan penyiasatan segera berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, kata Dr Zambry, kerajaan negeri setakat ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kumpulan itu.
Dr Zambry diminta mengulas laporan akhbar tempatan baru-baru ini yang melaporkan bahawa terdapat satu kumpulan ajaran sesat di Perak yang dilaporkan diketuai seorang lelaki yang mengaku sebagai Imam Mahadi baru-baru ini.
Akhbar tersebut melaporkan bahawa kumpulan itu didakwa sedang mempengaruhi orang ramai dengan menggunakan pengaruh seorang ulama.