top of page
muinsapidin

Kumpulan XPDC Sertai Kembara Ummah

IPOH – Kumpulan rock lagenda negara, XPDC bakal menggegarkan perkampungan Orang Asli Kuala Mu, Sungai Siput sempena Kembara Ummah - mencari Sakinah yang bakal berlangsung pada 23 dan 24 Julai ini.

Program yang digerakkan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) bersama Pejabat Menteri Besar Perak itu antara lain sebagai kesinambungan aktiviti yang dijalankan sebelum ini bersama komuniti Orang Asli.

Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, kali ini, pendekatan berbeza digunakan dengan menampilkan kumpulan XPDC sebagai ejen dakwah yang membawa hiburan, bukan sahaja terarah kepada kagamaan tetapi perpaduan.

Menurut beliau, pemilihan XPDC adalah tepat memandangkan kumpulan itu adalah antara artis pelopor terhadap usaha dakwah di negeri ini dengan terlibat dalam program keagamaan seperti di pemukiman Kerian dan tabligh.

“Hasil program dijalankan sebelum ini, kesannya amat baik kerana sepertimana kita tahu, XPDC diminati bukan sahaja mereka yang telah berusia tetapi anak-anak muda.

“Ini juga menjadi satu fokus kita, untuk mengajak anak muda ke arah kebaikan tanpa membataskan mereka, biar ada sedikit hiburan asalkan ia tidak terlalu berat atau melanggar batas agama,” katanya pada sidang media, di pejabatnya di sini pada Rabu.

Kuala Mu mempunyai lebih 1,000 penduduk dan 30 Peratus daripadanya merupakan komuniti Islam.

Azhar berkata, penganjuran aktiviti itu di perkampungan Orang Asli diharap dapat menyatukan penduduknya yangterdiri daripada pelbagai etnik dan kepercayaan, selaras dengan saranan Menteri Besar yang mahu melihat masyarakat di Perak bersatu dengan nilai kasih sayang dan perpaduan.

“Fokus kita tidak lain, untuk mengeratkan silaturahim...moga dengan pendekatan ini mereka dapat melihat Islam dengan cara berbeza,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang program berlangsung, sebuah pusat sehenti akan dibuka bagi memberi peluang komuniti Kuala Mu dan masyarkat sekitarnya mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan bantuan kerajaan.

Menurutnya, hampir 20 agensi dan jabatan kerajaan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara, Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Bina Upaya dan Jabatan Kesihatan yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma.

Di samping itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dijadualkan hadir merasmikan program berkenaan pada hari terakhir dan turut menyampaikan bantuan kotak makanan kepada mereka yang terpilih.


56 views0 comments
bottom of page