PORT DICKSON - Masyarakat Negeri Sembilan sanggup menyerahkan barang kemas dan perhiasan mereka semata-mata untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin dan Syiria yang tertindas dan dizalimi.
Sumbangan tersebut disalurkan orang ramai melalui program Jelajah Imarah Ramadan bersama Imam dari Gaza Palestin dan Syria yang melibatkan masjid, surau dan institusi pendidikan, anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Cawangan Negeri Sembilan.
Penyelaras Mapim Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Fuad Othman berkata, antara barang kemas dan perhiasan yang disumbangkan masyarakat Negeri Sembilan adalah cincin, rantai, gelang dan jam tangan.
Menurut beliau, pihaknya sangat menghargai keprihatinan serta kebersamaan orang ramai dalam membantu saudara seagama yang tertindas di Palestin dan Syria sehingga sanggup menyerahkan barang kemas mereka.
“Ini menggambarkan bahawa masyarakat di sini semakin faham tentang isu yang melanda negara Islam, dan mempunyai keinginan serta berkorban harta benda untuk membantu rakyat Palestin dan Syria.
“Sepanjang sebulan program jelajah ini, Mapim menerima sejumlah dana yang banyak hasil sumbangan orang ramai untuk terus disalurkan kepada Palestin dan Syria,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mohd Fuad berkata, melalui sumbangan berkenaan, Mapim berjaya menjalankan beberapa program, antaranya majlis berbuka puasa di Masjidil Aqsa sepanjang Ramadan.
“Mapim juga telah menghantar bantuan makanan kepada umat Islam di Gaza dan Syria sepanjang Ramadan serta ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
“Ini semua hasil sumbangan orang ramai melalui Mapim dan kita terus laksanakan amanah yang tersebut dengan menyalurkan dana tersebut untuk Gaza dan Palestin,” katanya.
Beliau berkata, walaupun program Jelajah Imarah Ramadan bersama Imam dari Gaza Palestin dan Syria telah berakhir, tetapi orang ramai boleh menyumbang ke Tabung Dana Kemanusiaan Mapim Cawangan Negeri Sembilan di akaun Maybank 558-220-605-312.