top of page
muinsapidin

Perak Catat Kedatangan Pelancong Domestik Tertinggi Empat Tahun Berturut-Turut

KAMPAR: Perak sekali lagi mencatatkan kemasukan pelancong domestik tertinggi di Malaysia pada tahun 2015 untuk tahun keempat berturut-turut, sekaligus membuktikan kemantapan promosi pelancongan usahasama kerajaan negeri dan pemain industri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, tahun lalu Perak mencatatkan 7.96 juta kemasukan pelancong domestik, rekod kejayaan berterusan sepanjang empat tahun berturut-turut.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil usahama kerajaan negeri Perak dan pemain industri pelancongan di dalam mempromosikan produk pelancongan, baik dari segi pelancongan eko, perubatan, alam semulajadi serta bangunan warisan di sekitar negeri ini.

“Selain itu, Ipoh turut mendapat pengiktirafan daripada buku panduan pelancongan terkemuka sebagai bandar keenam yang wajar dikunjungi di seluruh Asia dan ini akan menjadi salah satu pendorong bagi kita untuk menggiatkan lagi usaha menaikkan nama Perak di persada dunia.

“Kedua-dua elemen ini merupakan faktor penting dalam meningkatkan pasaran kita kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk terus yakin dalam mencuba di negeri ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Tourism Malaysia Perak dan Festival Durian Perak di pekarangan Gua Tempurung, pada petang Selasa.

Tambahnya, sambutan Syawal itu diadakan di gua kapur tertua Malaysia itu bersempena dengan penaiktarafan dan penambahbaikan fasiliti di dalam dan luar kawasan pelancongan dan rekreasi keluarga itu.

Nolee berkata, beliau menjangka lebih daripada 10,000 pengunjung bakal memenuhi perkarangan gua tersebut untuk menikmati pelbagai buah-buahan, khususnya durian yang menjadi kegemaran rakyat setempat.

“Kebanyakan durian ini dikumpul dari sekitar kawasan Gopeng dan Perak, seperti dusun di sekitar Kg Jahang, Gopeng dan kira-kira 1,200 buah durian dibawa masuk dan diberikan secara percuma kepada orang ramai.

“Selain itu, kita juga mempromosikan raja buah ini kepada pelancong yang rata-ratanya datang daripada Singapura dan Indonesia pada hari ini,” katanya lagi.


59 views0 comments
bottom of page