IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) membantu mengembangkan bakat pelumba yang sedang mengharumkan nama negara, Khairul Idham Pawi.
Menurut beliau, ini kerana Khairul Idham memiliki potensi besar dalam sukan permotoran negara dan juga di peringkat antarabangsa.
“Saya meminta agar Kementerian Belia dan Sukan dapat bersama-sama membantu Khairul Idham kerana pelumba muda ini mempunyai potensi yang besar untuk masa depan,” katanya kepada pemberita di majlis Aidilfitri anjuran Lembaga Air Perak (LAP) di Hotel Casuarina @ Meru pada Selasa.
Dr Zambry berkata, selain tanggungjawab kerajaan negeri membantu Khairul Idham, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memberi sokongan kepada anak negeri Perak itu yang kini menjadi kebanggaan negara.
Sebelum ini, kerajaan negeri Perak telah memberikan insentif RM100,000 kepada Khairul Idham sebagai mengiktiraf kejayaannya selepas mencipta sejarah menjadi pelumba Malaysia pertama memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, pada 3 April lepas.
“Saya penuh yakin dengan bantuan ini juga dapat membantu Khairul Idham untuk terus bersaing dan mencipta nama dalam bidang permotoran di peringkat antarabangsa,” kata Dr Zambry.