top of page
muinsapidin

Pura-pura Jadi Jemaah Masjid

SERI ISKANDAR - Bermacam-macam cara digunakan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri di dalam masjid termasuk berpura-pura menjadi seorang jemaah menunaikan solat, sepertimana yang dilakukan oleh seorang lelaki di Masjid Al-Siddiq, Iskandar Perdana di sini, kelmarin.

Pengerusi masjid, Abdul Rahim Basri berkata, perbuatan lelaki terbabit berjaya dirakam kamera liter tertutup (CCTV) yang ada dalam masjid berkenaan.

Rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki disyaki sedang

mencuri di dalam Masjid Al-Siddiq, kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika jemaah masjid sedang solat Asar.

“Daripada rakaman CCTV, kita dapati ada seorang lelaki yang berpakaian lengkap, berkopiah serta berkain pelikat seperti mahu bersolat.

“Namun, lelaki itu dilihat mengambil beg jemaah yang sedang solat dan menyebabkan seorang jemaah kerugian RM400,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kejadian kecurian seumpama itu bukanlah yang pertama berlaku di masjid berkenaan, tetapi ia melibatkan kecurian duit tabung masjid.

“Sebelum ini kita berdepan masalah kecurian duit tabung masjid selain salah satu bilik di masjid itu turut dipecahkan.

“Laporan polis dibuat setiap kali berlakunya kejadian kecurian dan kita harap kes ini dapat ditangani sebaik mungkin,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pihak masjid turut mengambil serius perkara itu termasuklah memasang CCTV, selain merancang untuk meletakkan anggota Rela ketika solat Jumaat.

“Kita mencari pelbagai alternatif untuk memastikan kes-kes seumpama ini tidak berlaku, namun jemaah sendiri juga harus beringat.

“Kadang-kala kecuaian jemaah sendiri seperti meletakkan barangan yang berharga jauh dari mereka juga turut mengundang kepada masalah kecurian yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hasan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan berkenaan kejadian itu yang melibatkan seorang jemaah kerugian RM400 apabila dompetnya diambil suspek terlibat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuklah melihat rakaman CCTV masjid itu untuk mengesan suspek terlibat.

“Namun begitu, jemaah juga diminta supaya lebih peka kepada barangan berharga masing-masing supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.


35 views0 comments
bottom of page