IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) merancang membangunkan dua lagi taman tema selepas taman animasi Movie Animation Park Studios (MAPS) siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai awal Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kedua-dua taman itu ialah taman tema air dan taman tema berteraskan hutan dikawasan Kledang Saiyong yang menelan kos RM1 bilion.
“Mesyuarat PKNP hari ini membincangkan status pembangunan yang sedang dijalankan dalam negeri Perak iaitu antaranya projek taman tema animasi MAPS yang kini dalam peringkat terakhir dan dijangka mula operasi pada awal Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis rumah terbuka Warna-Warni Aidilfitri PKNP di Pusat Konvensyen Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa.
Dr Zambry berkata, rancangan pembinaan MAPS dan kedua taman tema tersebut bakal merancakkan lagi pembangunan dan industri pelancongan yang berteraskan kepada taman tema di negeri Perak.
Menurut beliau, mesyuarat turut memperkenalkan beberapa idea baru iaitu mewujudkan taman tema air yang berdekatan dengan MAPS.
“Kita turut merancang satu taman tema dikenali taman tema hutan jungle team park berteraskan hutan iaitu dikawasan Kledang Saiyong,’’ katanya lagi.
Dr Zambry berkata, pembinaan tiga taman tema itu juga mampu mempromosikan kawasan Meru sebagai kawasan tarikan pelancong utama di Ipoh.