top of page
muinsapidin

21 Pekerja Klinik Kesihatan Keracunan Bahan Kimia

IPOH: Seramai 21 pekerja Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA), Batu Gajah dikesan mengalami keracunan bahan kimia akibat kebocoran tong kimia yang disimpan dalam dalam setor klinik tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, 21 pekerja itu mengalami gejala batuk, selsema, sakit tekak, sakit kepala dan sesak dada sejak awal Julai secara beransur-ansur.

Menurut beliau, pada 18 Julai, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta telah menjalankan siasatan terhadap aduan mengenai beberapa anggota di KKIA yang mengalami gejala tersebut dan setakat ini, 21 orang anggota didapati bergejala.

“Mereka telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Batu Gajah. Kesemua mereka dalam keadaan stabil dan tiada kemasukan ke wad,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut Dr Juita, hasil siasatan mendapati punca keracunan itu adalah disebabkan oleh kebocoran cecair Cresol 50% iaitu sejenis bahan disinfektan untuk menyahkuman di persekitaran klinik.

“Bahan ini didapati meresap melalui lantai konkrit dari tong bahan kimia yang bocor, yang disimpan di dalam setor di tingkat atas klinik tersebut,” jelasnya.

Katanya, pihak PKD Kinta dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan meneruskan pemantauan terhadap anggota yang terlibat dan klinik itu akan dibuka semula pada 19 Julai.

“Kerja-kerja pembersihan telah dilakukan secara bersama oleh anggota PKD dan pihak Bomba Hazmat pada hari ini (Isnin) serta perkhidmatan klinik telah diberhentikan sementara waktu,” ujarnya.


21 views0 comments
bottom of page