top of page
muinsapidin

Kementerian Pelancongan Bantu Tahun Melawat Perak 2017

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan membantu menjayakan Tahun Melawat Perak (TM Perak) 2017 untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu, lebih-lebih lagi selepas Ipoh disenaraikan sebagai destinasi keenam terbaik di asia untuk dilawati, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, beliau telah meminta para pegawai kementerian untuk membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di Perak kerana masih banyak produk yang boleh diketengahkan.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya dan evolusi tarikan pelancongan yang wujud di negeri itu telah menjadikannya sebagai negeri yang sangat popular di kalangan pelancong, baik dari dalam atau luar negara.

Ujarnya, fakta itu dapat dibuktikan apabila hampir lapan juta pelancong domestik mengunjungi Perak, menjadikannya terbaik di Malaysia sejak dua tahun lalu.

Di samping itu, kata beliau, Ipoh turut diminati oleh pelancong Singapura yang datang dengan penerbangan terus Singapura – Ipoh semata –mata untuk menjamu selera, selain pelancong dari negara China.

“Mereka memang suka dengan Ipoh sebab ia mempunyai lanskap seperti Huayin di negeri Shaanxi, satu wilayah di China,” katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Padang Rengas 2016 di Maktab Rendah Sains MAR Kuala Kangsar di sini pada Sabtu malam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor dan ADUN Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak.

Pada majlis itu, Nazri turut meraikan pemimpin Melayu Islam daripada wilayah sempadan Thailand seperti dari Narathiwat, Yala, Songla dan Pattani.

Beliau turut menyampaikan hadiah pertandingan panjut atau pelita hiasan, antara kampung di Parlimen Padang Rengas yang telah dianjurkan sejak tiga tahun lalu.

Keputusan pertandingan adalah seperti berikut:-

Kategori Belia DUN Lubok Merbau

1. Kampung Tanah Merah

2. RPA Meor Aris

3. Kampung Laneh

Kategori JKKK DUN Lubok Merbau

1. Kampung Buaia

2. Kampung Tanah Merah

3. Kampung Sg Ati

Kategori Belia DUN Chenderoh

1. Kampung Ribu Hulu

2. Kampung Chegar Galah

3. Kampung Kati

Kategori JKKK DUN Chenderoh

1. Kampung Ribu

2. Kampung Bendang Ujib

3. Kampung Temong Hilir

Tempat pertama setiap kategori menerima wang tunai RM2,000, tropi serta sijil manakala tempat kedua menerima RM1,000, tropi serta sijil dan tempat ketiga menerima RM800, tropi serta sijil.


151 views0 comments
bottom of page