ISTANBUL - TURKI. Pihak berkuasa Turki dilaporkan telah menembak jatuh sebuah helikopter tentera yang dipercayai terlibat dalam cubaan rampasan kuasa ketika pesawat itu menembak orang ramai di Istanbul, lapor Sputniknews.com.
Melalui rakaman sebuah video yang dikongsi, orang ramai kelihatan melarikan diri selepas helikopter tersebut menembak ke arah mereka secara rambang. Dipercayai pasukan keselamatan yang menyokong Presiden, Recep Tayyip Erdogan menembak jatuh helikopter itu dari pesawat pejuang F-16. Helikopter itu dipercayai dikendalikan oleh askar yang terbabit dalam usaha menggulingkan Erdogan namun nasib juruterbang pesawat tersebut tidak diketahui. Laporan ini juga menyebut bahawa Turki mendakwa ketua kumpulan yang cuba membuat rampasan kuasa itu telah menyerahkan diri kepada kerajaan namun tiada pengesahan dibuat setakat ini. Cubaan rampasan kuasa ini juga disifatkan telah gagal dengan kembalinya Erdogan ke Ankara dari tempat percutiannya, awal hari ini.