SUNGAI SIPUT: Persatuan Anak-Anak Jawang akan meneruskan pelbagai aktiviti untuk membantu memajukan Kampung Jawang supaya tidak tenggelam dalam arus perdana pembangunan negara.
Yang Dipertuanya, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharudin berkata, buat masa ini antara tumpuan program persatuan ialah dari segi kebajikan dan pendidikan anak-anak kampung.
Beliau memberitahu, antara program yang telah dijalankan ialah membiayai pelbagai program di Sekolah Kebangsaan Jawang dan menubuhkan dana untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan untuk melanjutkan pelajaran.
“Saya bersyukur kerana ramai anak-anak kelahiran Kampung Jawang yang berjaya telah tampil untuk membantu.
“Ada di antara mereka yang telah berjaya menjadi doktor, peguam, pakar motivasi, ahli sukan dan ahli perniagaan, boleh dikatakan lengkap dalam pelbagai bidang,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-9 persatuan itu dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan Jawang dekat sini pada Sabtu.
Perasmian majlis telah disempurnakan Senator Datuk Hamzah Mohd Kasim.
Megat Ahmad Shahrani berkata, sejak ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu, banyak perubahan yang telah mereka lakukan di Kampung Jawang bagi memastikan ia tidak dilupakan.
“Apabila ramai yang telah berjaya di luar, mereka turut membawa ibu bapa bersama-sama tetapi apabila kita adakan pelbagai program, mereka turut balik kampung dan membawa anak-anak,” ujarnya.
Sementara itu, Hamzah di dalam ucapannya berharap persatuan dapat meneruskan aktiviti yang dijalankan, lebih-lebih lagi membantu kampung yang menjadi asal-usul mereka.
“Eratkan silaturrahim, gunakan teknologi baru seperti whatsapp untuk merapatkan hubungan dan perpaduan kerana itulah kunci yang menentukan kejayaan kita,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berharap pemimpin persatuan dan masyarakat supaya saling bantu membantu untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.