IPOH: Sungguhpun memasuki Syawal ke-10 namun perayaan bulan penuh rahmat ini masih diraikan oleh warga sekitar Perak dengan kunjungan oleh rakan dari pelbagai bangsa dan agama.
Antaranya, Pejabat Kewangan Kerajaan Negeri telah mengambil insiatif untuk mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada Sabtu yang ternyata mendapat sambutan cukup meriah. Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal berkata, sambutan bagi tahun kelima itu mendapat maklum balas serta bantuan yang cukup baik daripada semua pihak khususnya dalam bidang penyediaan tempat dan peralatan "Sebagai contoh, lokasi bagi sambutan kali ini adalah D’polo Cafe and Catering dan ianya ditaja khas daripada pengurusan, begitu juga dengan peralatan memasak semuanya dibantu oleh mereka.
"Di samping itu, persembahan dan beberapa lagi sumbangan terhadap program kecil-kecilan kami, diharapkan semua tetamu dapat merasa seronok dan girang bersama ahli keluarga mereka," katanya kepada Suara Perak ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Menurutnya, hampir semua barisan kepimpinan kerajaan negeri memeriahkan majlis tersebut bersama sahabat handai dan saudara-mara dan ia merupakan salah satu peluang untuk bermesra di antara sesama mereka yang sering dihimpit kesibukan bekerja. Lebih 2,000 tetamu hadir, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.