IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak tindakan segelintir anggota tentera Turki yang menggunakan taktik kotor untuk merampas kuasa Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Dr Zambry berkata, sebagai sebuah pasukan yang telah bersumpah setia kepada Presiden, kumpulan itu seharusnya menjalankan amanah untuk melindungi negara dan institusi demokrasi daripada bahaya dan bukannya sebaliknya.
“Saya amat gembira untuk menyatakan bahawa kerajaan Turki telah berjaya mendapatkan keadaan di bawah kawalan dengan tindakan tegas mereka dalam mencegah rampasan kuasa terhadap Presiden yang sah dan kerajaan oleh kumpulan serpihan kecil dalam tentera Turki, di luar rantaian perintah.
“Apa yang dilakukan oleh angkatan tentera itu adalah keji kerana Presiden yang dipilih rakyat dan kerajaannya dikeluarkan dengan cara yang tidak demokratik seperti melalui satu rampasan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Sabtu.
Dr Zambry berkata, beliau berasa amat lega dengan tindakan bijak dan berpandangan jauh Presiden Turki yang berjaya menjamin keselamatan kerajaannya untuk keluar daripada keadaan huru-hara tersebut.
Jelasnya, ia juga menunjukkan bahawa di sebalik kekecohan yang meragut beberapa nyawa tidak berdosa itu, Presiden Erdogan masih berjaya memulihkan semula undang-undang di negara tersebut.
Menurut beliau, dengan kegagalan rampasan kuasa itu, Turki sekali lagi dapat mencapai kestabilan politik dan ekonomi yang merupakan pra-syarat untuk mendapat ketenangan yang amat diperlukan, kebajikan dan kemakmuran bagi bangsanya.
“Takziah saya ucapkan kepada rakyat Turki untuk kehilangan nyawa dalam mencegah rampasan kuasa daripada berlaku,” katanya lagi.