top of page
muinsapidin

Cuepacs Ikrar Terus Jadi Tulang Belakang Kerajaan

IPOH - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berikrar untuk terus menjadi tulang belakang kepada‎ kerajaan, kata Presidennnya, Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, janji itu diikrarkan bagi memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendapat kepercayaan rakyat.

Azih Muda

"Kami yakin hubungan antara pekerja dan majikan umpama ayah dengan anak dan jika ia baik maka ia akan memberi kelebihan menggembirakan rakan-rakan di pihak kerajaan," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Cuepacs Perak dan Perasmian Perwakilan Tritahunan Cuepacs Negeri Perak, di sini malam tadi yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Azih, kerajaan ketika ini sangat mengambil berat tentang penjawat awam, tidak sesekali membelakangi kumpulan itu atau meninggalkan mereka dalam keadaan serba salah.

"Kalau kita imbas kembali tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan amat komited untuk membantu penjawat awam seperti mana yang disuarakan oleh kesatuan pekerja bermula dari soal gaji sampailah ke soal perumahan.

"Walaupun hari ini kita berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan sebagainya, tetapi yakinlah apabila ada kestabilan politik, ekonomi negara akan terus berkembang yang akhirnya tuntutan-tuntutan kesatuan pekerja dapat dipenuhi oleh kerajaan," kata Azih.

Sementara itu, Zambry melahirkan penghargaan kepada kakitangan awam di negeri Perak yang bersama-sama membantu membangunkan pembangunan negeri.

"Selama ini, anda semua bersama dengan saya, meneruskan perjuangan kita dalam usaha untuk membangunkan negeri Perak. Kita berjaya membina satu pasukan yang cukup baik.

"Perlu diingatkan, kerajaan yang ada pada hari ini sentiasa bersama-sama dan sentiasa membantu penjawat awam," kata Zambry. - Bernama


13 views0 comments
bottom of page