PENGKALAN BAHARU: Lebih 10,000 pengunjung membanjiri perkarangan Arena Square Pengkalan Baharu sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Beruas, pada Sabtu.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama UMNO Bahagian Beruas, serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Beruas.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Abdul Manaf Hashim berkata, kehadiran masyarakat yang begitu ramai serta penganjuran majlis itu secara bersama menunjukkan perpaduan dan kekuatan masyarakat di Beruas.
Beliau yang juga ADUN Pengkalan Baharu berkata, suasana masyarakat yang hadir di majlis itu dilihat sebagai satu petunjuk baik di mana konsep perpaduan antara kaum diterjemahkan melalui suasana hari raya.
“Kehadiran yang ramai pada ini amat saya hargai, ini lah peluang kita untuk berjumpa, bertegur sapa dan bermesra dengan rakyat setempat,” katanya ketika ditemui Suara Perak di majlis berkenaan.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta beberapa Ketua Bahagian UMNO sekitar Perak.
Lebih 35 gerai beraneka makanan telah disediakan kepada orang ramai untuk dijamah sambil didendang lagu raya.
Menurut Abdul Manaf, kesemua gerai tersebut merupakan peniaga sekitar Pengkalan Baharu yang dipanggil memeriahkan sambutan rumah terbuka itu.
"Kita juga nak beri peluang kepada peniaga-peniaga sekitar mencari rezeki pada musim perayaan begini, mereka dapatlah mempromosikan makanan yang dijual juga," ujarnya.