IPOH: Tekanan air rendah dikenalpasti sebagai punca kelewatan operasi Krematorium Buntong yang merupakan krematorium moden pertama di Malaysia bagi kaum India.
Penasihat Kepada Menteri Besar Perak, Datuk V. Elango berkata, krematorium berharga RM2.1 juta itu yang mula dibina pada 7 Mei 2015, telahpun siap pada 7 Disember tahun yang sama.
Gambar Hiasan
Bagaimanapun, kata beliau, tekanan air yang ada sekarang, rendah dan tidak dapat menggerakkan sistem krematorium terkini itu yang menggunakan teknologi daripada China.
Sehubungan dengan itu, ujar beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM38,000 diperlukan bagi memasang paip yang lebih besar, sesuai dengan keperluan teknologi krematorium moden itu.
“MIC Negeri Perak telah tampil untuk menanggung keseluruhan kos tambahan RM38,000 untuk memasang paip itu yang dijangka siap dalam masa dua minggu,” katanya kepada pemberita dalam siding media di Kuil Mahamariaman Buntong di sini pada Jumaat.
Elango yang juga Pengerusi MIC Negeri Perak berkata, selepas projek pemasangan paip itu siap, pihaknya akan membantu mendapatkan sijil kebenaran menduduki (CF) daripada pihak-pihak berkenaan seperti Lembaga Air Perak, pihak bomba dan Majlis Bandaraya Ipoh.
“Kita berharap krematorium ini dapat digunakan secepat mungkin,” kata beliau sambil memberitahu, kerajaan negeri menyumbangkan RM1.3 juta untuk projek krematorium itu manakala bakinya diusahakan oleh pihak Ipoh Hindu Devasthana.
Beliau amat berpuashati dengan pembinaan krematorium itu kerana ia bukti janji yang dikotakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat India di Buntong, walaupun telah dipolitikkan oleh pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, Elango yakin, rakyat kini telah semakin matang dan mampu membuat penilaian seperti yang telah diterjemahkan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang berkepentingan itu supaya berhenti memainkan isu krematorium berkenaan sebagai bahan politik kerana masyarakat India sudah jelik dengan permainan mereka.
“Jangan menghambakan rakyat untuk kepentingan politik pemimpin pembangkang dan jangan cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang dihadapi pembangkang sekarang,” ujarnya.