top of page
muinsapidin

Keputusan Pertukaran Pegawai Daerah Batang Padang Muktamad

IPOH: Keputusan pertukaran Pegawai Daerah Batang Padang, Razali Bakar ke Kerian berkuatkuasa 1 Ogos ini yang telah dibuat secara sebulat suara di dalam mesyuarat mingguan Exco Rabu lalu adalah muktamad.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Air Kuning dan Ketua UMNO Bahagian Tapah yang turut hadir juga tidak membantah keputusan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, ekoran daripada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan telah memanggil Razali ke pejabatnya pada Khamis pagi untuk menyerahkan sendiri surat arahan pertukaran itu.

Menurut beliau, adalah menjadi proses yang biasa yang dilakukan oleh Abdul Puhat untuk menyerahkan sendiri (by hand) surat arahan pertukaran kepada semua pegawai daerah ataupun Yang Dipertua Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran.

“Dalam tempoh yang lama ini, saya dah tiga penggal menjadi Exco kerajaan negeri, DO bertukar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran, Yang Dipertua Majlis Daerah bertukar ganti, ketua-ketua jabatan bertukar ganti, tak ada pun mana-mana badan, mana-mana kumpulan orang yang membuat bantahan dan mendesak kerajaan membatalkan keputusan itu, kecuali yang berlaku semalam,” katanya pada siding media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan kedudukan sebenar ekoran laporan akhbar mengenai desakan Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Tapah supaya pertukaran Razali dibatalkan.

Pengerusi persatuan itu, Zainuddin Zainal Abdin berkata, pertukaran itu tidak dipersetujui kerana disifatkan mengejutkan dan dilakukan tanpa sebab munasabah, tambahan pula perkhidmatan Razali masih diperlukan.

Saarani berkata, pertukaran itu adalah proses pertukaran biasa, seperti juga pertukaran Pegawai Daerah Kerian ke Bagan Datoh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Manjung ke Majlis Daerah Teluk Intan baru-baru ini, dan bukanlah penurunan pangkat.

Beliau menjelaskan, pegawai daerah adalah kakitangan kerajaan yang tertakluk kepada peraturan-peraturan, sumpah memegang jawatan dan akur kepada slogan saya yang menurut perintah, malahan terdapat kakitangan kerajaan yang diarahkan bertukar dalam masa 24 jam.

Di samping itu, katanya, semua 829 ketua kampung di negeri ini juga dilantik oleh kerajaan negeri dan mereka tertakluk kepada peraturan, disiplin dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“Tiada pula dalam mana-mana klausa yang menyebutkan bahawa apabila kita hendak melantik atau hendak menukarkan mana-mana kakitangan kerajaan, nak melantik ataupun menukar pegawai daerah, maka kita perlu mendapat persetujuan ketua kampung, tidak ada,” ujar beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, bukanlah bermakna ketua-ketua kampung langsung tidak boleh bersuara, sebaliknya mereka juga boleh mengemukakan pandangan tetapi mestilah mengikut peraturan dan saluran yang betul.

Beliau mengingatkan ketua-ketua kampung bahawa pertukaran pegawai daerah adalah urusan kerajaan negeri dan tidak perlu mereka memanjangkan perkara itu kepada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, seperti yang dicadangkan.

Saarani turut mengingatkan ketua-ketua kampung supaya menghentikan polemik itu kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak, baik pegawai daerah yang berkenaan, mahupun ketua-ketua kampung.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan menyiasat punca sebenar kemelut itu dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan hubungan baik ketua-ketua kampung berkenaan dengan Razali yang telah berkhidmat lebih 10 tahun di Batang Batang, lima tahun sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah dan lima tahun lagi sebagai Pegawai Daerah.

Mengenai tindakan yang mungkin boleh diambil terhadap ketua-ketua kampung berkenaan, Saarani berkata, kerajaan negeri belum lagi melihat kesalahan besar yang mereka lakukan.

“Saya bimbang kalau ketua kampung ini diperalatkan, saya tidak mahu kalau ketua kampung diperalatkan, harus diingat bahawa pegawai daerah akan bertukar tetapi ketua kampung kekal di situ,” ujarnya.

Beliau menasihatkan ketua-ketua kampung berkenaan supaya memberi peluang kepada Razali untuk merasai suasana dan cabaran baharu di Kerian supaya menjadikannya lebih kreatif serta inovatif.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ketua-ketua kampung berkenaan supaya bersedia untuk menerima pegawai daerah baharu yang mungkin lebih baik daripada pegawai daerah lama.


49 views0 comments
bottom of page