SUNGAI SIPUT: ADUN Sungai Siput, Datuk Zolkafly Haron menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar menjalankan siasatan segera ke atas pemimpin DAP, Nga Kor Ming.
Pada Aidilfitri lepas, Ahli Parlimen Taiping itu telah memuatnaik status ucapan Syawal berlatarbelakangkan bendera Amerika Syarikat dan karikatur seolah-olah menghina ketelusan agama Islam di negara ini.
Zolkafly berkata, tindakan pemimpin tersebut menampakkan ketidakmatangan beliau sebagai wakil rakyat sekaligus mengguris hati kaum Melayu dan orang Islam di seluruh Malaysia.
Tegasnya, pihak berwajib seperti SKMM dan polis harus menjalankan siasatan terperinci ke atas penafian Kor Ming yang menidakkan dakwaan ke atas dirinya.
"Apa yang beliau buat laporan polis semua itu, nampak sangat dia penakut, bukannya berani kerana selain tidak bertanggungjawab beliau juga tidak menghormati perasaan kaum Melayu, malah mencabar sensitiviti kebebasan beragama kita.
"Jika benar didapati beliau bersalah dan memang benar dia yang memuatnaik karikatur dan status itu, maka pihak polis perlu ambil tindakan berdasarkan akta sedia ada.
"Tak perlu minta maaf secara terbuka selepas ini jika benar, itu cerita lama, tindakan tegas perlu diambil," katanya kepada pemberita setelah mengetuai 11 Badan Bukan Kerajaan ( NGO) yang membuat laporan polis antaranya Peladang, Sukarelawan Belia, Perkasa, di IPD Sungai Siput berkenaan tindakan tidak berasas Nga Kor Ming pada petang Jumaat.
Menurutnya, tindakan susulan Pengerusi DAP Perak itu untuk membuat laporan polis terhadap beberapa ahli Pemuda UMNO yang melakukan bantahan di hadapan pejabat DAP adalah berpunca daripada status yang mencabar keharmonian kaum dan integriti agama Islam di laman sosialnya.
"Bila dia dah buat macam itu terhadap kaum Melayu, maka kita tidak boleh menghalang pemuda-pemuda dan mereka yang merasa terguris ini daripada menyatakan pendirian mereka, tak mungkin mereka akan berdiam diri.
"Berkenaan dengan rakan-rakan Melayu yang menyertainya membuat laporan polis, mungkin mereka ini sudah hilang sentuhan dan perasaan sebagai umat Islam sedangkan sepatutnya kita tidak boleh bertolak ansur dalam hal melibatkan agama Islam," ujarnya.
Tambah Zolkafly, perbuatan Kor Ming memuatnaik kenyataan yang menjurus kepada provokasi itu sebenarnya jelas merupakan satu taktik kotor untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu rakan seperjuangan DAPnya iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.