KAMPAR: Seorang remaja maut setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di Kilometer 21, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, berhampiran lampu isyarat plaza tol Gopeng pada malam Rabu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhamad Shukri Mohd Rostam,17 sedang menaiki motosikalnya dalam perjalanan dari Gopeng ke Kampar sebelum terlibat dalam kemalangan sekitar 11.30 malam itu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, ketika kejadian, lori terlibat dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kampar ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Menurut beliau, semasa lori tersebut membelok ke kanan, tiba-tiba motosikal mangsa yang dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, telah merempuh bahagian tengah sebelah kiri lori tersebut.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi keesokan harinya,” katanya kepada pemberita.
Beliau memberitahu, punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh “Multiple Injuries Consistent With Road Traffic Clash”.
Tambahnya, akibat rempuhan tersebut, motosikal mangsa mengalami kerosakan di semua bahagian.
Menurut Superitendan Ng, tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.